Monday, August 24, 2009

NALURi WANiTA KU

Pada waktu, saat, detik dan ketika ini saya merasakan satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Suatu rasa yang saya sendiri sukar untuk memahaminya walaupun rasa itu datang dari hati kecil saya sendiri. Rasa sebak tapi sukar untuk saya menitiskan air mata. Jadi, untuk mengurangkan rasa itu, saya teringin menulis tentang program yang saya dengan kawan-kawan laksanakan hari sabtu lepas. Hanya dengan cara ini perasaan saya akan beransur-ansur hilang dan reda walaupun tidak sepenuhnya. Berbalik kepada program yang kami sudah selesai laksanakan hari sabtu lepas iaitu hari pertama puasa. Kami bertujuh bertolak pada pukul 8.30 pagi ke rumah anak yatim Jasa di Ipoh untuk melaksanakan misi kemanusiaan kami. Kami menyewa dua buah kereta untuk ke sana. Semasa perjalanan, terdetik juga disanubari saya bagaimana penerimaan mereka dengan kedatangan kami ini. Rupanya kami disambut dengan baik dan penuh kemesraan. Sebaik tiba, kami melihat adik-adik telah sedia menunggu kami dan mendekati kami untuk bersalam.

Naluri keibuaan saya tersentuh apabila melihat seorang adik berumur 6 tahun datang menyalami saya dengan pandangan matanya redup membuatkan saya rasa sebak sekejap. Sepanjang program kami ini, saya sangat menghormati semangat kerjasama antara mereka walaupun mereka sebenarnya tiada tali persaudaraan. Melihat kepada kesungguhan mereka untuk memasuki kelompok kami dan sifat berdikari mereka sangat saya kagumi. Begitu juga dengan adik-adik yang berumur 6-8 tahun, mereka kelihatan telah biasa hidup tanpa ibu dan ayah yang bagi saya sangat muda untuk hidup tanpa kasih sayang keduanya.

Naluri saya tersentuh lagi apabila melihat empat beradik yang dihantar ke rumah anak yatim tersebut seolah-olah mereka dibuang daripada keluarga sendiri. Semasa dalam slot capaian matlamat, saya melihat kepada satu pasangan ini iaitu seorang remaja lelaki berumur 17 tahun menolong mencatatkan cita-cita seorang kanak-kanak perempuan yang berumur 7 tahun kerana adik tadi tidak tahu menulis. Betapa kagumnya saya melihat kesabaran remaja lelaki tadi melayan karenah adik tadi walaupun keduanya tiada pertalian. Mereka saling menumpang kasih sayang, berkongsi segalanya. Banyak yang saya perhatikan sepanjang program ini, mereka sangat sukakan pujian dan sifat ego mereka sangat ketara. Hal ini mungkin kerana kurangnya perhatian dan kasih sayang daripada individu signifikan menjadikan mereka agak ‘keras’ dan berdikari. Saya merenung diri saya sendiri, betapa beruntungnya saya kerana dilimpahi dengan kasih sayang dan kemewahan yang tiada berbelah bagi.

Berfikir saya sejenak, agaknya bolehkah saya menghadapi hari-hari tanpa kedua ibu bapa pada usia yang masih terlalu muda. Mungkin saya tidak setabah adik-adik ini yang berperang dengan perasaan sendiri tentang di mana hak mereka sebagai anak-anak yang dilahirkan ke muka bumi ini. Di rumah anak yatim ini, terdapat juga anak-anak yang menjadi mangsa penceraian selain daripada kematian ibu atau bapa. Sepanjang program ini, kami mencuba sedaya upaya yang termampu kami untuk menceriakan hari mereka dan memotivasikan mereka bahawa mereka bukan satu-satunya insan terpilih untuk diuji oleh ALLAH.

Sesungguhnya sesudah kesulitan itu pasti ada kemudahan kerana ALLAH tidak akan menguji hambaNYA melainkan dia mampu untuk menghadapinya. Setelah titisan air mata pasti ada senyuman, dan setelah malam pasti datang siang. Sesungguhnya awan kelabu pasti tersingkap, segala masalah pasti teratasi, dan segala bencana pasti akan berakhir dengan izin ALLAH.

Sesungguhnya kebahagian yang hakiki terletak pada kepuasan hati, kesenangan perasaan, ketenangan jiwa, kegembiraan rohani, kelapangan dada, budi pekerti yang baik, akhlak mulia yang diiringi dengan sifat menerima dan merasa cukup dengan anugerah yang diberikan. Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri untuk menerima seredhanya setiap dugaan yang diberikan oleh NYA. kat bawah ni antara gambar yang sempat kami rakamkan. Salam.







No comments:

Post a Comment